03 Mei 2009

KEJAYAAN PELAJAR MENJADI DORONGAN

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Selain dorongan ibu bapa dan tunjuk ajar daripada para guru, sikap sabar dan konsisten merupakan kunci kejayaan bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007. Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A berkata beliau mengamalkan sikap belajar dengan sabar di samping membina kekuatan dalaman dengan bertawakkal kepada Allah bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah itu terpilih menerima anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

Azali yang bercita-cita untuk menjadi seorang profesor berkata beliau tidak mempunyai jadual pembelajaran tertentu dan hanya belajar mengikut kesesuaian dirinya."Saya tak pernah ada jadual kerana kalau ada jadual, saya akan rasa tertekan sebab kena ikutnya, jadi saya belajar bila rasa ada semangat untuk belajar tetapi semangat itu kita kena rangsang selalu," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2007 oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azali yang turut aktif dalam aktiviti kokurikulum berkata, keputusan mengambil 21 mata pelajaran pada SPM 2007 bukan untuk mengatasi rekod SPM tahun-tahun sebelum ini."Bagi saya kalau buat untuk memecahkan rekod, ia sebenarnya tak ada apa-apa tetapi saya buat untuk saya sendiri dan untuk cikgu dan ibu bapa," katanya yang sentiasa bertawakkal kepada Allah.