03 Mei 2009

Kesusahan Hidup Sebagai Motivasi Diri

Di antara kita, ada yang dibesarkan dalam keluarga susah. Ada, memang ada. Sekarang, dek kesusahan itulah dia faham erti hidup lalu berusaha serajin mungkin nak menyenangkan hidupnya. Orang yang datang dari keluarga susah, peribadinya baik, tutur katanya baik dan hidupnya serba berperancangan.

Senang untuk Anda nak senang, jika Anda bekerja keras dan tahu caranya bagaimana. Ada orang bekerja keras tapi hidupnya masih tak berubah. Memang ada cara untuk senang. Syaratnya, Anda kena cari apa cara tu, pelajari lalu aplisakan pada diri Anda.

Dalam Islam, kita disarankan supaya bekerja keras, berusaha dan berfikir. Bukti? Setiap kali azan dilaung ketika masuk waktu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, azan mengingatkan kita supaya terus menerus memburu kejayaan. Hayya alal falah, maksudnya “marilah menuju kejayaan”.

Sebaik-baik usaha adalah usaha yang dimulakan dengan Bismillah. Usaha yang benar-benar berhasil adalah yang dimulakan dengan solat pembuka di pagi hari. Sembahyang subuh.

Bila dah konsisten memulakan usaha selepas selesai sembahyang subuh, usaha kita akan lebih diberkati. Hasilnya cepat muncul, berkekalan, membahagiakan.

Maka dengan itu, andaikata Anda datang dari keluarga yang susah, jadikan kesusahan sebagai sumber motivasi untuk Anda berjaya dalam pelajaran, pekerjaan ataupun perniagaan. Kesusahan, dalam diam akan membuat Anda terbiasa rajin bekerja dan membentuk hati Anda supaya tabah.

Jika semuanya senang, Anda tak akan ada pendorong untuk berubah. Anda akan terpesona, lalai dan terlupa. Semuanya dah ada, bagaikan sudah tidak ada sebab untuk Anda perlu bekerja kuat.

Andaikata susah menyusahkan Anda, jangan anggap ia sebagai beban tapi anggaplah sebagai latihan persediaan untuk Anda. Orang berjaya, sebelum dia mencapai kejayaan, dia pun dulu orang susah. Tapi dia rajin berusaha, rajin bekerja sebab tubuh badannya, jiwanya dan mindanya tahan berdepan bebanan kerja.

Bila motivasi sudah sedia terbina, kekalkan ia dengan mengingat selalu tentang matlamat Anda, kemahuan Anda. Jika Anda mahu hidup senang, gambarkan ia selalu, fikirkan selalu dan imaginasikan selalu.

Biarlah kesusahan menjadi pencetus motivasi diperingkat awal saja. Untuk Anda bermotivasi pada tahap tinggi, Anda perlu mengekalkan gambaran imaginasi tentang apa yang Anda mahukan. Imaginasikan sebanyak mungkin, sejelas mungkin, sekerap mungkin.

Jangan imaginasi tentang masalah Anda, kesusahan Anda tapi berimaginasilah selalu tentang kemahuan Anda, cita-cita Anda. Itulah yang akan dimunculkan dalam hidup Anda. Peralatkan imaginasi untuk memunculkan kejayaan dalam hidup Anda hari ini, esok, lusa, sampai bila-bila jua!

petikan daripada laman web http://www.imotivasi.com