22 Januari 2010

TIDAK SUSAH HENTI MEROKOK



KEGAGALAN kempen berhenti merokok seperti yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia bukan disebabkan kurang perancangan atau usaha gigih. Tapi kegagalan kempen itu disebabkan perokok itu sendiri.
Usaha agar orang ramai berhenti merokok adalah satu usaha murni dan harus difahami dan disedari oleh semua perokok.
Saya juga bekas perokok selama 33 tahun. Saya tidak pernah mencuba untuk berhenti atau mengurangkan tabiat merokok saya. Masa-masa yang saya mesti merokok adalah ketika memandu, menonton televisyen dan bersama kawan-kawan. Inilah sebenarnya sebab kenapa kebanyakan perokok tidak mahu dan tidak boleh lalui semasa mereka mencuba untuk berhenti merokok.
Sebenarnya para perokok yang memberi pelbagai alasan tidak dapat berhenti merokok sebenarnya menipu diri sendiri dan hakikatnya mereka tidak berminat untuk berhenti merokok.
Tidak kira apa juga jawatan yang disandang, jika mereka seorang perokok dan memberi apa-apa alasan di atas kegagalan untuk berhenti merokok, mereka sebenarnya tidak ikhlas untuk berhenti. Dan mereka ini sebenarnya penyumbang kepada kegagalan kempen berhenti merokok.
Secara jujur, apakah merokok ini satu kesalahan? Rasanya tidak. Tidak salah jika mahu merokok kerana rokok masih dijual di pasaran. Penjualan rokok itu sebenarnya yang membuat orang ramai keliru.
Jika benar merokok ini sesuatu yang seburuk digambarkan, kenapa rokok masih lagi dijual di pasaran? Kenapa tidak diharamkan sahaja penjualannya. Inilah kecelaruan sebagai seorang perokok. Dilarang merokok, tapi rokok dijual.
Untuk berhenti merokok, pada pendapat saya memerlukan keberanian dan tidak mementingkan ego. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Inilah kenyataannya.
Tidak payah memberi apa-apa alasan kenapa tidak boleh berhenti merokok. Merokoklah sehingga mati. Merokoklah sehingga kaki dipotong dan merokoklah sehingga paru-paru anda hancur. Tiada siapa yang peduli.
Kenapa mesti orang lain peduli jika anda mahu membunuh diri sendiri dengan merokok. Anda tidak menyayangi semua orang yang menyayangi diri anda. Anda terlalu mementingkan diri sendiri dan terlalu mementingkan ego.
Jika keluarga anda sendiri yang menasihati anda untuk berhenti merokok dan anda tidak mempedulikannya. Orang luar apa lagi. Tak ubah seperti mencurah air ke atas daun keladi.
Saya sendiri tidak pernah berkata saya telah berhenti merokok. Cuma saya sekarang tidak lagi merokok. Saya tidak kata saya berhenti merokok. Saya cuma berkata “saya tak nak merokok, tak sedap.” Saya samakan merokok seperti juga makanan yang saya tak suka makan.
Saya tidak cuba secara berdikit-dikit. Bila kita tak nak makan sesuatu yang tak sedap, kita terus tidak memakannya. Itulah pendekatan yang saya ambil untuk tidak merokok.
Bila saya kata merokok itu tidak sedap, maka saya terus tidak merokok. Rokok yang ada terus saya buang dan stok rokok di rumah saya jual kembali kepada pembekal. Allahmdullillah, tahun ini masuk tahun ke-6 saya tidak merokok.

Mudah sebenarnya jika kita tidak mahu merokok. Masalahnya, kita mahu merokok dan bila dilarang, makin kuatlah kita menentang.
Jadi kepada penganjur kempen berhenti merokok, saya cadangkan salurkan dana tersebut kepada perkara yang lebih bermanafaat daripada membuang masa menasihati orang yang tak reti bahasa tentang kasih sayang dan keinginan orang ramai mahukan semua warga kita sihat dan sejahtera.
Saya juga ingin berkongsi cara mudah untuk tidak merokok ini dengan orang ramai di luar sana. Tapi hanya untuk yang benar-benar tidak mahu merokok.
Ini bukan untuk yang mahu “Mencuba berhenti merokok,” kerana perokok yang mencuba untuk berhenti merokok sebenarnya “Tidak mahu berhenti merokok.”

Keramat Permai, Kuala Lumpur">