NIBONG TEBAL: “Jika saya tak mahu keluar, awak hendak buat apa?“. Itu jawapan biadab seorang pelajar tingkatan empat kepada guru sebuah sekolah menengah di sini, yang mengarahkan dia dan dua lagi rakannya keluar kelas.
Lebih mengejutkan lagi apabila pelajar berusia 16 tahun itu menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun itu.
Dalam kejadian 12.45 tengah hari Selasa lalu, pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki sebuah kelas ketika itu guru wanita berkenaan sedang mengajar.
Tanpa menghormati guru berkenaan dan mempedulikan pelajar lain, tiga pelajar berkenaan membuat bising sebelum guru terbabit mengarahkan mereka keluar dari kelasnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata apabila arahan berkenaan tidak diendahkan, guru berkenaan menampar pipi salah seorang pelajar terbabit sebelum dia membalasnya.
“Malah, salah seorang pelajar kumpulan itu bertindak ganas apabila membaling kerusi plastik ke arah guru berkenaan tetapi dia berjaya mengelak.
“Melihatkan itu, seorang pelajar lagi menarik kedua-dua rakannya beredar keluar dari kelas itu sebelum guru berkenaan membuat aduan kepada pengetua yang mintanya membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, sehari selepas kejadian atau pada 13 Januari lalu, pelajar yang menampar guru berkenaan dibawa ahli keluarganya menyerah diri kepada polis dan bermalam di lokap selama sehari sebelum dia dijamin bapanya keesokannya.