Memaparkan catatan dengan label PETIKAN BERITA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PETIKAN BERITA. Papar semua catatan

02 Februari 2010

TIMBANG WAJIB LULUS BAHASA INGGERIS

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan FAIZATUL FARHANA FARUSH KHANpengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius untuk mensyaratkan semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selari dengan tumpuan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut di kalangan pelajar mulai tahun depan.
“Langkah mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapat sijil sedang dipertimbangkan secara serius dan kita akan umumkan apabila sampai masanya nanti.
“Apabila dilaksanakan, pelajar akan beri perhatian yang lebih dan takkanlah mereka yang sudah belajar belasan tahun sejak dari darjah satu menghadapi masalah untuk lulus,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan bercadang mewajibkan kelulusan mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung oleh TV3, di sini hari ini yang dikendalikan Datuk Manja Ismail.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu, dasar mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris kemungkinan akan dilaksanakan mulai 2012.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, usaha kerajaan untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris tidak membebankan pelajar khususnya pelajar Melayu.
“Pelbagai penambahbaikan terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris akan dibuat secara agresif mulai tahun depan.
“Oleh itu, saya tidak melihat semua pendekatan yang diambil kerajaan bakal membebankan pelajar khususnya kaum Melayu kerana syaratnya hanya lulus dan bukannya wajibkan kredit,” jelasnya.
Beliau menambah, mulai tahun depan, 15 guru pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil untuk mengajar guru-guru subjek Bahasa Inggeris tempatan mengenai teknik pengajaran dan pembelajaran yang betul.
Pada masa sama, katanya, lebih 300 guru asing akan turut diambil bagi memantau prestasi guru-guru subjek Bahasa Inggeris tempatan, juga mulai tahun depan.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, Kementerian Pelajaran akan menawarkan insentif istimewa kepada guru besar dan pengetua cemerlang yang sanggup membimbing sekolah yang mempunyai pretasi akademik dan kokurikulum terburuk di negara ini.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan sekolah yang berprestasi buruk itu tidak terus ketinggalan berbanding sekolah lain.
Selain itu kementerian juga kata beliau akan membuat dasar termasuk mewajibkan setiap guru mengajar selama lima hingga tujuh tahun di kawasan luar bandar.
Utusan Malaysia Online: 2 Februari 2010

29 Januari 2010

Baca Yasin, salam guru resipi kejayaan sekolah


FUZIAH menerima ucapan tahniah daripada murid berikutan Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2 dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, semalam.
JOHOR BAHRU: Amalan membaca surah Yasin dan bersalaman dengan guru sebelum memulakan pembelajaran adalah antara resipi kejayaan Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2 (SKBU 2) di sini, yang menjadi kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Guru Besarnya, Fuziah Hasan, berkata dua perkara berkenaan menjadi amalan harian guru dan murid sejak dulu lagi bagi memastikan ilmu dicurahkan secara ikhlas serta mendapat lebih berkat.

"Bersalam dengan guru juga bertujuan mendapat keredaan. Setiap kali murid menghulurkan tangan, guru akan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan murid," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
SKBU 2 yang mempunyai 91 guru dan 1,652 murid adalah antara 20 SBT yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Tahun lalu, SKBU 2 menerima Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan dan pada 2007 pula memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Panitia Matematik yang juga satu-satunya guru berbangsa Cina di sekolah berkenaan, Darren Kua, 30, berkata SKBU 2 bertuah kerana mempunyai guru besar seperti Fuziah.
"Beliau tidak henti-henti memberikan kami kekuatan dalam mengajar murid, malah pencapaian subjek Matematik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu mencatat 100 peratus lulus.

"Saya sendiri mendidik murid-murid seperti anak sendiri termasuk memberi tuisyen dan latih tubi sehingga saya tidak kira penat lelah asalkan mereka berjaya," katanya.

Ketua murid, Amin Khalili Roslan, 12, berkata kesungguhan dan keikhlasan guru mencurahkan ilmu menjadi antara faktor kejayaan sekolah berkenaan.

"Sebagai ketua murid pula, saya akan memastikan rakan di sekolah ini berdisiplin dan tidak menyusahkan guru atau ibu bapa, selain komitmen belajar diberikan sepanjang pembelajaran berlangsung di kelas bagi membantu mengekalkan kecemerlangan dan keceriaan di sekolah ini," katanya.
Berita Harian Online: 27 Januari 2010

Komen Kaunselor

Sekolah kita telah melancarkan program 4S... SALAM, SAPA, SENYUM DAN SMART...

23 Januari 2010

HARIAN METRO: MINUM RACUN LEPAS DITEGUR GURU


BATU GAJAH: Hanya kerana ditegur guru sekolahnya supaya belajar lebih rajin dan tekun, seorang pelajar berusia 12 tahun bertindak nekad minum cecair dipercayai racun serangga di rumah bapa saudaranya di Taman Pusing Baru, dekat sini, kelmarin.
S Uvaneswaran, 12, yang juga yatim piatu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Batu Gajah kira-kira jam 6 petang, dipercayai selepas tiga jam meminum racun serangga itu.

Ketua Polis Batu Gajah, Asisten Superintendan Najib Mohammad, berkata berdasarkan maklumat bapa saudara pelajar terbabit, mangsa kelihatan murung dan resah sebaik pulang dari sekolahnya kira-kira jam 1.30 petang.


“Apabila ditanya, mangsa memberitahunya dia mempunyai masalah di sekolah.

“Mangsa memasuki sebuah bilik yang dipercayai dijadikan stor di belakang rumahnya kira-kira jam 1.30 petang,” katanya. Bagaimanapun, Najib berkata, kira-kira jam 3.30 petang, mangsa keluar dari bilik berkenaan dalam keadaan muntah-muntah dan tidak bermaya.
myMetro: 22 Januari 2010
 
Komen Kaunselor

Pelajar ini mendapat perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Apabila mengalami perasaan seperti tidak berpuas hati, malu, kecewa, segan, sedih, keliru seorang pelajar mesti berjumpa dengan kaunselor untuk mendapat bimbingan dan sesi kaunseling daripada kaunselor di sekolah. 

Seseorang pelajar tidak boleh memendam perasaan kerana boleh bertindak sehingga membunuh diri. Kisah ini amat sedih sekali. 

Wahai pelajar sekalian, gunakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Kaunselor anda bersedia untuk membantu anda semua.

APA DAH JADI DENGAN ANAK-ANAK ZAMAN SEKARANG INI?

Ibu 'terbang' dari Sarawak terkilan dihalau anak
TUMI di Seri Kembangan, Serdang semalam.


SERDANG - Hajat seorang ibu tua, Tumi Wongsorujo mahu melawat anaknya bagi melepaskan rasa rindu setelah berpisah selama tiga tahun bukan sahaja tidak tercapai, malah hatinya hancur apabila dihalau anaknya itu.
Tumi, 52, yang datang dari Kuching, Sarawak dikatakan sanggup meminjam wang daripada sanak saudara untuk membeli tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur pada Selasa lalu dan mencari anaknya itu walaupun tanpa alamat lengkap.
Usaha nekad Tumi mencari anaknya itu yang dikatakan tinggal di Serdang akhirnya membuahkan hasil apabila dapat menemui rumah anaknya malam kelmarin selepas dibantu oleh orang awam dan polis.
Namun apabila sampai di rumah anaknya, dia bagai terkedu apabila anak sendiri tidak mengaku dirinya ibu dan lebih pedih Tumi diherdik dan dihalau oleh anak perempuannya yang tinggal bersama suami barunya.

Komen Kaunselor
Apabila saya membaca kisah ibu diatas, air mata saya menitis tanpa saya sedar. Teringat saya kepada mak saya di kampung. Selama ini kita hanya melihat atau menonton tv sahaja kisah seorang anak yang sudah hidup mewah atau sudah berkahwin dengan anak orang kaya malu nak mengaku ibunya. Seperti cerita dalam filem sitanggang atau cerita sibelalang siri sitanggang yang malu mengaku itu ibunya apabila sudah berkahwin dengan anak raja atau orang kaya. 

Tetapi sekarang, cerita di atas benar-benar sudah berlaku di dalam negara kita dalam dunia realiti sebenarnya.  Persoalannya dimana silapnya? Sanggup seorang anak yang dikasihi tidak mengaku itu ibunya. Disini saya tidak mahu membuat andaian dan sebagainya. Seribu alasan dan persoalan yang ada di pemikiran anaknya. 

Walau bagaimanapun kita sebagai anak seharusnya dan semestinya harus ingat bahawa kita juga mempunyai anak-anak yang sedang membesar dan kita semakin tua. Apa perasaan kita sekiranya begitu balasannya kita terima daripada anak-anak kita setelah kita tua nanti. 

18 Januari 2010

PELAJAR RINDU PUJIAN GURU



Oleh ANUAR AHMAD
Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.
Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.
Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.
Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.
Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.
Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.
Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.
Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.
Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.
Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati.
Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.
Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.
Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.
Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka.
Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.
Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.
Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.
Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.
Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.
Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".
Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.
Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.
Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.
Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".
Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".
Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.
Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).
Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.
Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.
Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.
Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.
Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.
Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.
Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.
Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.
Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Utusan Malaysia Online: 16 Januari 2010

PELAJAR TAMPAR MUKA CIKGU

NIBONG TEBAL: “Jika saya tak mahu keluar, awak hendak buat apa?“. Itu jawapan biadab seorang pelajar tingkatan empat kepada guru sebuah sekolah menengah di sini, yang mengarahkan dia dan dua lagi rakannya keluar kelas.
Lebih mengejutkan lagi apabila pelajar berusia 16 tahun itu menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun itu.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari Selasa lalu, pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki sebuah kelas ketika itu guru wanita berkenaan sedang mengajar.


Tanpa menghormati guru berkenaan dan mempedulikan pelajar lain, tiga pelajar berkenaan membuat bising sebelum guru terbabit mengarahkan mereka keluar dari kelasnya.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata apabila arahan berkenaan tidak diendahkan, guru berkenaan menampar pipi salah seorang pelajar terbabit sebelum dia membalasnya.

“Malah, salah seorang pelajar kumpulan itu bertindak ganas apabila membaling kerusi plastik ke arah guru berkenaan tetapi dia berjaya mengelak.


“Melihatkan itu, seorang pelajar lagi menarik kedua-dua rakannya beredar keluar dari kelas itu sebelum guru berkenaan membuat aduan kepada pengetua yang mintanya membuat laporan polis,” katanya.


Menurutnya, sehari selepas kejadian atau pada 13 Januari lalu, pelajar yang menampar guru berkenaan dibawa ahli keluarganya menyerah diri kepada polis dan bermalam di lokap selama sehari sebelum dia dijamin bapanya keesokannya.

myMetro: 15 Januari 2010

29 Disember 2009

KETEKUNAN GURU, PELAJAR RAMUAN KEJAYAAN


RAUB 25 Dis. – Ketekunan dan memberi tumpuan ketika guru mengajar merupakan antara ramuan kejayaan pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah di sini untuk muncul sekolah terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 di negeri Pahang yang diumumkan semalam.

SMS Tengku Abdullah mengekalkan rekod terbaiknya apabila 108 daripada 125 calonnya atau 86.4 peratus memperoleh semua A dalam peperiksaan itu.

Pencapaian 100 peratus dapat dilihat apabila semua calon mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.02 pada tahun ini berbanding 1.05 pada tahun lalu.

Kesemua pelajar 8A yang ditemui mengakui kesungguhan guru banyak membantu kejayaan mereka memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Seorang calon cemerlang, Nurafiqah Syahirah Paisal, 15, yang mendapat 8A dalam peperiksaan itu bersyukur dengan kejayaan tersebut setelah berpenat lelah tanpa mengira masa mengulangkaji pelajaran.

Anak sulung kepada pasangan guru itu menghargai sumbangan tenaga pengajar dan ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

‘‘Saya sentiasa memberi tumpuan semasa guru mengajar sambil sering bertanya jika tidak memahami apa yang diajar,’’ katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Rakannya, Mohd. Zafir Musa, 15, menyifatkan kejayaan memperoleh 8A sebagai hadiah kepada guru dan ibu bapa yang banyak memberi sokongan.

Anak seorang kerani yang bercita-cita menjadi jurutera itu berharap kejayaan tersebut menjadi penyuntik semangat kepada adik-adiknya untuk mencatat kejayaan lebih hebat lagi.

Bagaimanapun, tegasnya, kejayaan seseorang itu banyak bergantung kepada tahap disiplin kerana tanpa elemen tersebut, ia akan menimbulkan masalah kepada guru sekali gus menjejaskan tumpuan kepada pelajaran.

Seorang lagi pelajar yang mendapat 8A, Mohd. Izuan Ghazali, 15, membuktikan anak peneroka juga boleh mencapai kejayaan cemerlang jika berusaha bersungguh-sungguh.

Pada masa sama, tegasnya, dia tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk bersolat dan membaca al-Quran setiap hari.

‘‘Saya membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran, beriadah dan beribadat,” katanya yang berasal dari Felda Koyan 3 di sini.

Bagi anak kakitangan Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Mohd. Asyraf Ahmad, 15, rahsia kejayaannya mendapat 8A ialah mengamalkan belajar secara berkumpulan sambil menyiapkan semua latihan yang diberikan guru di rumah.

Katanya, kejayaan tidak akan dinikmati jika seseorang pelajar itu malas mengulang kaji pelajaran.

Rakannya, Nadira Nasuha, 15, dari Taman Amalina Perdana dan Adibah Abd. Kadir, 15, dari Kampung Kuala Keloi di sini yang juga mendapat 8A berkata, kesungguhan guru mereka mengajar merupakan antara faktor kejayaan sekolah itu.

‘‘Guru kami sering mengadakan kelas tambahan walaupun pada waktu malam semata-mata untuk memastikan kejayaan pelajar dalam PMR 2009,’’ katanya.

Bagi Nicole Low Wei Xin, 15, pula kejayaannya memperoleh 7A sangat membanggakannya dan keluarga.

‘‘Saya tidak kekok untuk belajar bersama-sama sebahagian besar pelajar dan guru Melayu yang mengajar tanpa pilih kasih,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 26 Disember 2009

27 Disember 2009

KEPUTUSAN PMR: 28,188 SEMUA A

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu ceria bersama keputusan PMR masing-masing.

Prestasi calon luar bandar makin baik

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar atau 6.37 peratus daripada 442,721 calon memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, berbanding 26,378 tahun lalu.

Nilai Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu juga bertambah baik tahun ini iaitu 2.78 berbanding 2.83 tahun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Prestasi calon luar bandar juga semakin baik apabila 4,775 berjaya memperoleh semua A berbanding 4,345 tahun lalu, manakala 87,936 melepasi tahap minimum gred A, B, C dan D.

Nilai GPN bagi calon luar bandar juga bertambah baik daripada 3.02 tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.

Calon bandar yang mendapat semua A juga meningkat kepada 22,901, berbanding 21,576 tahun lalu, manakala GPN bertambah baik daripada 2.72 kepada 2.68 tahun ini. Alimuddin berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar juga semakin rapat berdasarkan penguncupan nilai beza GPN antara kedua-dua kumpulan, iaitu 0.3 pada tahun lalu kepada 0.29 tahun ini.

"Bagaimanapun, daripada segi pencapaian semua A, jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat daripada 5.11 peratus kepada 5.22 peratus," katanya.

Antara 10 sekolah harian terbaik termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor: SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu: SMK Sultan Badlishah, Kulim dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK Derma, Kangar.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang; Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

PMR tahun ini juga menyaksikan kumpulan pertama 156 calon mengambil subjek Pendidikan Kesenian di dua sekolah iaitu Sekolah Seni Johor Baharu (SSeJB) dan SSe Kuching. Subjek kesenian yang diambil ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi apabila 35 calon atau 22.4 peratus mendapat peringkat tertinggi Band 4.

"Seramai 12 calon SSe pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran teras," katanya.

Selain itu, tujuh pelajar istimewa disenaraikan calon terbaik iaitu empat mendapat 7A, dua 8A dan seorang 9A.

Alimuddin juga berkata, ada peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam jumlah pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan tidak ketara kepada prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).

"Peratus berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 tahun ini dan BI daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.

Berita Harian Online: 25 Disember 2009

13 November 2009

Mereka sudah cuti dulu



SELEPAS ditahan kerana ponteng sekolah, para pelajar ini beratur menunggu giliran untuk merekodkan maklumat pengenalan diri masing-masing di pejabat PPD Keramat, Kuala Lumpur semalam sebelum ujian air kencing dan sesi kaunseling.


KUALA LUMPUR - Cuti akhir tahun hanya akan bermula 21 November ini tetapi kepada sesetengah pelajar, mereka sudah hilang minat ke sekolah dan berpakat untuk ponteng atas alasan kehadiran mereka tidak lagi penting.

Selamba berpakaian seragam dengan ada di antaranya masih memakai tali leher, mereka keluar rumah dengan menipu ibu bapa kononnya untuk ke sekolah agar diberi wang saku sedangkan destinasi sebenar ialah melepak bersama rakan-rakan di kompleks membeli-belah.

Tembelang mereka terdedah semalam apabila 178 pelajar termasuk sembilan perempuan dari beberapa sekolah menengah ditahan dalam operasi 'Ponteng, Jom ke Sekolah' oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Keramat bersama polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Hasil soal siasat yang dijalankan, seorang pelajar memberi alasan yang dikongsi ramai di kalangan kumpulan itu bahawa mereka ponteng kerana di sekolah tidak ada lagi aktiviti pembelajaran.

"Buat apa pergi sekolah, sekarang pun bukan belajar lagi. Lagipun kami bukan buat apa-apa salah, kami cuma duduk makan di kedai,'' katanya.

Para pelajar terbabit mendakwa pihak sekolah tidak mengatur aktiviti untuk mereka kerana sudah selesai menduduki peperiksaan akhir tahun selain tumpuan guru kini lebih kepada persediaan sekolah menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 19 November ini.

Namun bagi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Keramat, Mohd. Najib Abdul Rahman, alasan itu tidak boleh diterima.

Kosmo Online: 12 November 2009

Bosan berada dalam kelas punca murid ponteng


PARA pelajar sekolah yang ditahan semasa Operasi Ponteng Ayuh ke Sekolah! Zon Keramat siri 2/2009 diambil butiran sebelum dibawa ke PPK Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Utusan Malaysia 12/11/2009

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Bosan berada dalam kelas adalah antara alasan yang diberikan oleh seorang pelajar untuk ponteng sekolah dan melepak di kafe siber.

Dia yang mendakwa sudah lebih dua bulan melakukan perkara itu juga mengakui sepanjang tempoh tersebut, ibu bapanya langsung tidak mengetahui tindakannya itu.

Ini kerana setiap pagi dia akan bersiap-siap seperti biasa untuk ke sekolah.

Pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah di Wangsa Maju itu adalah antara 178 yang ditahan dalam Operasi Ponteng Ayuh Ke Sekolah! di sekitar Sri Rampai, Keramat dan Wangsa Maju di sini hari ini.

Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Pejabat Pelajaran Keramat (PPK) itu turut dibantu pelbagai agensi lain termasuk polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Zon Keramat.

Menurut pelajar berkenaan, dia sering ponteng sekolah dan menghabiskan masa dua jam setiap hari untuk bermain permainan video bersama rakan di kafe siber berdekatan kediamannya.

Selain pelajar itu, ramai lagi pelajar yang ditahan turut memberikan alasan sama, selain baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan tidak ada aktiviti menarik di sekolah.

Apa yang mengejutkan, kebanyakan pelajar terbabit tidak terkejut ketika ditahan kecuali selepas diberitahu yang ibu bapa mereka akan dihubungi untuk dimaklumkan mengenai penahanan mereka.

Operasi berkenaan merupakan operasi kedua selepas operasi pertama dijalankan pada Ogos lalu.

Penolong Pegawai Pendidikan Keramat, Mohd. Najib Abdul Rahman berkata, pelajar yang ditahan terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima dan ketika tangkapan dilakukan, kebanyakan pelajar memakai pakaian biasa dan menyorokkan pakaian seragam sekolah mereka di dalam beg.

Kesemua pelajar yang ditahan kemudian dibawa ke PPK di Jalan Kuantan untuk tindakan susulan termasuk sesi kaunseling sebelum diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Malah, pelajar terlibat turut diarahkan menjalani ujian air kencing bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Hasil ujian tiada seorang pelajar pun yang positif dadah.

10 September 2009

KAJI DASAR NAIK KE TINGKATAN 4

SAYA merujuk kepada tulisan Lukman Moidin yang disiarkan dalam ruangan ini pada 21 Ogos 2009. Ia antara lain menyentuh mengenai sistem pendidikan sekarang yang memberikan kenaikan pelajar ke tingkatan empat sekali pun gagal dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Saya bukanlah seorang guru tetapi bapa kepada lima orang anak. Saya menghormati dasar pendidikan yang meletakkan syarat semua pelajar sekolah mendapat pendidikan secara formal sehingga ke tingkatan lima. Setelah dasar berjalan sekian lama, saya melihat ia mempunyai banyak kekurangan berbanding kelebihan dalam jangka panjang.

Saya telah membuat kajian mengenai pencapaian keputusan peperiksaan PMR di sebuah sekolah. Apa yang mendukacitakan, pelajar-pelajar yang hanya lulus satu daripada tujuh atau lapan mata pelajaran turut layak naik ke tingkatan empat.

Sedar atau tidak, pendidikan kini sedang berhadapan dengan lambakan kuantiti pelajar di sekolah-sekolah tetapi kurang daripada segi kualiti. Pelajar-pelajar yang tidak berminat untuk bersekolah seolah-olah terpaksa pergi ke sekolah.

Sekiranya pelajar-pelajar ini tidak lagi berminat untuk ke sekolah, persoalan yang timbul ialah bagaimana untuk mereka menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru?

Pelbagai kaedah pengajaran telah dilakukan untuk menarik minat mereka untuk belajar, tetapi semuanya tidak berkesan. Mengikut pepatah, seseorang boleh membawa kuda ke sungai, tetapi tidak boleh memaksa kuda itu minum air.

Tidak dinafikan terdapat pelajar yang menunjukkan perubahan yang positif apabila berada di tingkatan empat disebabkan tahap kematangan yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, bilangan ini adalah kecil berbanding mereka yang bermasalah kerana tiada matlamat yang jelas untuk masa depan mereka.

Bagi guru-guru pula, mereka terpaksa berhadapan dengan kekangan masa untuk mengajar. Ini disebabkan sebahagian besar masa terpaksa diperuntukkan untuk mendisiplinkan pelajar-pelajar yang bermasalah.

Sekolah seolah-olah telah menjadi tempat sebagai nursery kepada pelajar-pelajar ini. Seterusnya pelajar yang bermasalah ini akan menjadi seperti ‘barah’ yang boleh menjangkiti pelajar-pelajar yang ‘sihat’ pada asalnya.

Kebiasaannya mereka hanya akan sedar untuk belajar menjelang saat-saat akhir peperiksaan SPM, sayangnya ia sudah terlewat.

Apabila pelajar-pelajar ini kecundang dalam peperiksaan SPM, mereka akan berhadapan dengan masalah untuk melanjutkan pengajian, mahu pun untuk mendapatkan pekerjaan.

Lebih malang lagi, terdapat golongan ini yang terlalu memilih pekerjaan dan menggelarkan diri mereka sebagai penganggur terhormat. Keadaan ini boleh mendedahkan diri mereka kepada gejala sosial seperti lepak, merempit dan juga jenayah.

Pada pandangan saya, tidak ada ruginya kita menoleh ke belakang. Saya masih ingat pada tahun 1979, ketika saya masuk ke tingkatan tiga. Syarat lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) adalah ketat untuk naik ke tingkatan empat.

Walaupun saya bukannya dari sekolah yang ternama, saya melihat rakan-rakan saya termasuk yang kelas ‘hujung’, sejak dari awal tingkatan tiga lagi telah merasakan tekanan dan melihat kepentingan untuk lulus peperiksaan SRP.

Ini disebabkan kita tidak mahu mengulangi tingkatan tiga sekiranya gagal SRP. Seharusnya kualiti pendidikan seperti ini sekurang-kurangnya dikekalkan pada masa kini.

SRP merupakan tapisan penting untuk memisahkan mereka yang benar-benar mahu belajar.

Mereka yang lulus SRP dapat belajar dengan selesa di tingkatan empat dan seterusnya dapat membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengalaman terhadap tekanan untuk menghadapi SRP adalah amat penting bagi persediaan mental dan menyediakan strategi awal pembelajaran untuk menghadapi SPM.

Saya berpendapat, sistem SRP merupakan satu kaedah ‘kawalan kualiti’. Sistem seperti ini perlu diwujudkan kembali bukan sahaja untuk menyediakan pelajar-pelajar kepada persekitaran pembelajaran yang lebih mencabar di masa hadapan, malah mendorong para pelajar ini agar lebih memahami nilai kepentingan pendidikan untuk masa depan.

Kita membelanjakan jutaan Ringgit untuk menampung kos pelajar-pelajar yang tidak minat belajar supaya terus berada di sekolah untuk tingkatan empat dan lima.

Mengapa tidak diadakan satu sistem di mana pelajar-pelajar ini diberi pilihan sama ada untuk mengulangi tingkatan tiga atau mengambil bidang vokasional atau diberi latihan bagi persiapan di sektor pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.

Negara kita kehilangan aliran keluar berbilion Ringgit tukaran wang asing berikutan kita mempunyai hampir tiga juta pekerja asing. Kita berkemampuan menyediakan pekerja mahir daripada kalangan rakyat tempatan.

Oleh yang demikian, saya merayu kepada pembuat dasar, agar dasar pendidikan yang sedia ada perlu dikaji semula demi untuk masa depan negara bagi mencapai matlamat 1Malaysia di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.


MOHD SHARUJI

Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 10 September 2009

Buta akibat mercun bola jiran


Oleh OTHMAN YAHAYA
othman.yahaya@kosmo.com.my


SUNGAI PETANI - Seorang budak tujuh tahun, Mohd. Syafiq Zainuddin mungkin buta mata kirinya selepas terkena letupan mercun bola yang dipercayai dilempar oleh jirannya sendiri baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku di kawasan perumahan Flat Paya Nahu 1 di sini itu merupakan kes mangsa letupan mercun bola yang pertama dilaporkan di Kedah.

Dalam kes terbaru, mercun itu dipercayai dilempar dari tingkat tiga oleh beberapa remaja sebelum meletup di tingkat bawah flat pada kira-kira pukul 8.30 malam Khamis lalu.

Pada waktu itu, Mohd. Syafiq yang juga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Taman Ria berjalan turun dari rumahnya di tingkat tiga flat berkenaan bersama adik perempuannya, Izzati, 6, untuk pergi ke kedai runcit di hujung blok tersebut.

Bapa mangsa, Zainuddin Che Teh, 39, masih ingat jeritan orang ramai memanggil namanya supaya turun ke bawah pada waktu dia sedang berehat bersama isteri, Bedah Awang Kecik, 38, dan dua lagi anak mereka selepas berbuka puasa.

"Saya bergegas turun dan pada waktu itu melihat Mohd. Syafiq berlumuran darah dan dikeliling orang ramai,'' katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

07 September 2009

HORMATI GURU SYARAT CEMERLANG


KUALA TERENGGANU – Budaya menghormati guru adalah sebahagian daripada syarat yang perlu dimiliki murid bagi mendapatkan keberkatan menuntut ilmu.

Penceramah bebas, Mohamad Mizan Mohd Nor berkata, hakikat itu bagaimanapun jarang diberikan perhatian berikutan kecenderungan sistem pendidikan pada masa kini yang lebih berorientasikan peperiksaan.

“Kejayaan murid pada masa kini hanya diukur semata-mata berdasarkan jumlah skor ‘A’ yang berjaya dipungut dalam peperiksaan sehingga mengetepikan aspek keberkatan menuntut ilmu itu sendiri.

“Walhal, mendapatkan keberkatan itu harus menjadi matlamat utama bagi merealisasikan hasrat negara melahirkan generasi masa depan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (Jeri),” katanya.

Mohamad Mizan berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Kem Jati Diri Pelajar Terbilang yang berlangsung di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam.

Seramai 247 murid Tahun Empat dan Lima sekolah berkenaan mengikuti kem sehari yang dianjurkan bersama Unit Kokurikulum serta Unit Bimbingan dan Kaunseling itu.

Turut hadir, Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Zainab Yusof; GPK 2, Tengku Badariah Tengku Husin; GPK Kokurikulum, Wan Abdul Salam Wan Abdul Ghani dan Setiausaha Jawatankuasa Bimbingan dan Kaunseling, Azmi Awang.

Mengulas lanjut, Mohamad Mizan yang juga Pe ngurus TQHM Consultant berkata, budaya menghormati guru bukan sahaja merangkumi keperluan murid mengekalkan hubungan baik dengan guru di luar bilik darjah tetapi juga ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

“Sebagai contoh, ketika berlangsungnya sesi pembelajaran, semua murid perlu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru bukannya sentiasa bermain dan membuat bising dalam kelas.

“Apabila wujudnya situasi itu, guru akan berasa senang hati dan meredai ilmu yang dicurahkan, sekali gus membolehkan murid lebih diberkati,” katanya.

Sinar Harian: 7 September 2009