11 Julai 2009

INSAFLAH PELAJAR-PELAJARKU


Salam dan selamat sejahtera buat semua pelajar. Inilah kisah pelajar-pelajar hari ini. Sudah hilang rasa hormat kepada guru-guru. Bukan sahaja guru biasa biasa macam saya. Tetapi sudah mula berani maki hamun terhadap pengetua yang kita mengganggap sebagai ketua di sesebuah sekolah. Di manakah rasa hormat pelajar-pelajar hari ini terhadap guru yang sepatutnya mereka sanjung dan sayangi? Ini suatu persoalan yang memeningkan kepala guru-guru. Pelbagai usaha dan program telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendidik pelajar supaya menjadi manusia. Walaupun kisah ini kes terpencil atau jarang-jarang berlaku yang dilaporkan oleh pihak media. Ini harus diingat. Boleh dikatakan setiap hari berlaku di sekolah sebenar cuma tidak di laporkan oleh pihak media sahaja.

Mungkin kalau dilihat dari sudut kacamata kaunseling , pelajar ini merasakan tidak berpuas hati dengan tindakan pengetua tersebut. Tetapi harus diingat sebagai guru, tindakan buang sekolah ini adalah tindakan yang paling wajar bukan kerana untuk mengelapkan masa depan pelajar tersebut tetapi mahu memberi pengajaran kepada pelajar tersebut. Dan juga bukan sahaja kepada pelajar tersebut tetapi kepada pelajar-pelajar lain.Walaupun saya tidak pasti apakah puncanya pelajar ini dibuang sekolah. Tetapi saya yakin, pihak sekolah sudah memikirkan dan mempunyai alasan yang paling kukuh untuk membuat tindakan buang sekolah.

Saya mempunyai pelbagai pengalaman dan kisah yang paling sedih apabila terdapat ibu bapa tidak boleh menerima tindakan pihak sekolah apabila diberitahu perbuatan anaknya yang melakukan pelbagai kesalahan disiplin. Bahkan ada ibubapa turut mencabar saya supaya berhenti daripada menjadi cikgu sekiranya tidak boleh mendidik anaknya sekolah. Tidak terfikirkan ibubapa tersebut, siapakah yang lebih berhak mendidik sebenarnya anak mereka? Ia memang guru bertanggungjawab mendidik anak mereka di sekolah, tetapi harus ingat sekiranya guru sudah memberi kaunseling, bimbingan dan nasihat dan sebagainya tetapi sekiranya pelajar tersebut masih tidak berubah adakah guru masih lagi bersalah? Sebagai guru, terlalu banyak kita memberi peluang kepada pelajar untuk berubah. Tetapi pelajar tidak menghargai peluang yang diberikan oleh guru. Malangnya apabila pihak guru atau sekolah membuat tindakan yang drastik, dikatakan guru membuat tindakan yang tidak wajar.

Satu perkara yang tidak kurang penting juga, sekiranya guru kurang membuat tindakan tegas maka pelajar akan melabel guru lemah. Maka pelajar akan "mempermainkan" guru tersebut. Jadilah keadaan kelas yang tidak terkawal, pelajar akan buat bising, tidak beratur semasa ke kelas selepas perhimpunan, pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan di dalam kelas dan banyak lagi keadaan yang tidak terkawal akan berlaku di sekolah.

Dan hari ini, tidak hairan sekiranya terdapat guru yang bertindak "buat bodoh atau lantak kau" kerana sudah kecewa dengan kelakuan dan perangai pelajar-pelajar mereka. Walaupun tidak ramai guru membuat tindakan tersebut.

Pelajar SMKST khasnya, ingatlah! apa sahaja tindakan kita pada hari ini akan memberi kesan kepada diri kita. Mungkin hari ini tidak nampak kesannya. Tetapi apabila sudah tamat alam persekolahan kesan akan terasa. Sekiranya pelajar-pelajar membuat perkara yang baik pada hari ini masa depan pelajar akan baik. Tetapi sekiranya pelajar-pelajar melakukan perkara yang salah pada hari ini maka pada masa depan pelajar-pelajar akan mendapat kesusahan. Itulah hukum alam.

Apa sahaja tindakan pelajar terhadap guru, sama ada rasa dendam, hina guru, "melucahkan guru" menghina guru-guru, memberi gelaran yang kotor kepada guru, dan apa sahaja kata-kata pelajar kepada guru-guru pada hari ini, tidak memberi apa-apa kesan kepada guru. Guru boleh ketawa dan tersenyum. Tetapi harus ingat, orang yang melakukan kesalahan tidak akan bahagia hidup mereka. Dan mereka akan hidup penuh dengan resah dan gelisah. Bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat yang menanti balasannya.

Dan saya sentiasa mendoakan pelajar-pelajar saya supaya berjaya di dunia dan di akhirat. Walaupun terkadang hati kecil ini amat terguris. Dan saya mengganggap ini adalah satu cabaran dan saya berfikir secara positif. Ini lautan guru yang perlu saya renangi dengan tabah dan sabar.


AMPANG: Cukup biadab apabila seorang pelajar lelaki sanggup menghamburkan kata-kata kesat kepada pengetua sekolahnya sambil disaksikan puluhan rakan serta seorang guru yang sedang mengajar dalam kelas berkenaan di sebuah sekolah di sini.

Tindakan kurang ajar itu dilakukan pelajar tingkatan tiga berkenaan sejurus pengetua berkenaan memberitahu mengenai tindakan buang sekolah yang dikenakan terhadapnya.

Perbuatan spontan pelajar berusia 15 tahun itu dianggap keterlaluan kerana dia tanpa segan silu memaki-hamun pengetua wanita berusia 50-an itu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.45 pagi Selasa lalu, pengetua berkenaan pergi berjumpa pelajar terbabit bagi memaklumkan dia akan dibuang sekolah kerana masalah disiplin serius.

Sumber memberitahu Harian Metro, sebelum itu, pengetua berkenaan terserempak pelajar terbabit di pintu pagar sekolah lalu meminta dia datang ke pejabatnya bagi membincangkan hal berkenaan, tetapi tidak diendahkan sebaliknya remaja itu terus masuk ke kelas.

Menyedari keengganan pelajar itu berjumpanya, pengetua berkenaan mencari remaja lelaki itu di kelasnya.

Menurutnya, sebaik bertemu, pelajar terbabit tanpa menghiraukan pelajar lain dan guru yang sedang mengajar di dalam kelasnya terus menghamburkan kata-kata kesat serta memaki-hamun pengetua berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata ketegangan yang berlaku berikutan tindakan pelajar terbabit meninggikan suara memaki pengetua sekolahnya sedikit kendur apabila seorang anggota polis kebetulan lalu berhampiran kelas berkenaan.

Anggota polis berkenaan berada di sekolah itu untuk menguruskan hal persekolahan anaknya.

“Sebenarnya hal itu berpunca akibat salah faham kerana pelajar terbabit tidak dapat menerima kenyataan dia dibuang sekolah kerana masalah disiplin.

“Pelajar terbabit mula bersikap kurang ajar apabila memaki-hamun pengetuanya sejurus dimaklumkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dirujuk kepada pegawai polis yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ketika sesi perbincangan dengan pihak sekolah yang turut dihadiri ibu bapa pelajar terbabit.

Abdul Jalil berkata, hasil perbincangan, hal itu diselesaikan secara baik dan pelajar terbabit dibuang sekolah dengan persetujuan ibu bapanya.

myMetro: 10 Julai 2009